Risalah dari Dr Muhammad Badie’, Mursyid Am Ikhwan Muslimin, 18-06-2010
Islam adalah agama dan negara
Segala puji bagi Allah, dan selawat dan salam ke atas Rasulullah saw, keluarganya dan sahabatnya serta orang-orang yang mengikutinya, adapun selanjutnya ..
Sesungguhnya telah diakui menurut psikologi orang-orang yang berakal tentang kewajipan hidup dalam kelompok (jamaah) yang memiliki kekuatan, sistem, dan undang-undang yang dapat mengelakkan perbuatan zalim-menzalimi sesama mereka, menghentikan sebarang perselisihan dan persengketaan sesama mereka.
Bentuk kelompok ini terus berkembang hingga membentuk sebuah negara dan diterima oleh umat manusia sepanjang zaman untuk menyumbangkan kekuatan mereka pada kekuatan negara, memperuntukkan tenaga mereka untuk memperkuat sistem dan kelompok, serta meninggikan kewibawaan dan pengaruhnya, di mana kebenaran dibebaskan daripada penindasan, menyelamatkan ramai orang dari berbagai kezaliman, menghalang para perosak dari melakukan kerosakan sehingga tercapai maqashid syar’iyyah (tujuan syariah) dan mewujudkan keadilan dan ketenteraman. Ini kerana jika hal itu tidak berlaku, maka pastilah kehidupan mereka akan terabai tanpa haluan bahkan akan lenyap.
Ada satu ungkapan: Tidaklah suatu masyarakat akan baik jika terdapat di dalamnya pergaduhan yang tidak mampu ditutupi dan hal tersebut tidak akan mampu ditutupi jika orang-orang jahil yang menjadi pemimpin mereka
Oleh sebab itu Islam yang suci datang dan menyeru umat untuk memilih seorang pemimpin yang mampu membawa kemaslahatan, mengatur segala urusan mereka menuju yang terbaik dan mulia, sehingga urusan hidup mereka diatur dengan adil, keadaan mereka diasuh di atas asas disiplin, kehidupan mereka dipelihara daripada kecelaruan dan kebingungan, dan memantapkan hidup mereka di bawah payung keamanan dan kemuliaan insan, serta mengajak semua umat untuk menghormati sistem ini.
Bahkan Saidina Ali r.a pernah berkata:
“Raja dan agama merupakan dua saudara, tidak boleh dipisahkan antara satu dengan lainnya, kerana agama adalah asasnya sementara raja adalah pengawalnya, jika tidak memiliki asas maka agama akan hancur, dan jika tidak mempunyai pengawal maka agama akan mudah lenyap”
Untuk mencapai tujuan tersebut, Allah SWT meletakkan dasar-dasar keadilan dan prinsip-prinsip hukum yang baik, seperti yang disebutkan dalam Al-Qur’an:
“Dan Kami turunkan kepadamu Al kitab (Al Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri”. (An-Nahl:89)
Allah telah mengilhamkan melalui lisan Nabi Muhammad saw untuk menghuraikan apa yang terkandung dalam Al-Qur’an serta memberikan mandat kepada nabi untuk mempamerkan gambaran praktikal dan amali terhadap hukum yang baik ini. Dengan itu ajaran Islam yang suci terlaksana secara teori dan praktikal dalam bentuk yang paling baik dalam menentukan hak-hak manusia, melindungi kebebasan dan menjamin kemuliaan hidup bagi semua manusia. Justeru lengkaplah ajaran Islam dan sempurna kurniaan Allah, sebagaimana firman Allah:
“Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu Jadi agama bagimu”. (Al-Maidah:3)
Syariat Islam melindungi bukan Islam
Di bawah naungan syariat Islam yang penuh toleransi sahaja bukan Islam seperti Yahudi dan Kristian bebas mengamalkan kepercayaan mereka dan menjalankan ajaran agama mereka. Allah berfirman:
“Untuk tiap-tiap umat di antara kamu Kami berikan peraturan dan jalan yang terang”. (Al-Maidah:48)
Mereka juga diberikan pengecualian melaksanakan sebahagian syariat berupa kewajipan atau pengharaman yang tidak ditetapkan untuk mereka.
Di bawah naungan syariat ini sahaja yang mencegah pencemaran simbol agama atau penghinaan terhadap agama. Oleh sebab itu, tidak menghairankan bahawa gereja di Mesir menerapkan Syariah Islam bagi mengukuhkan hak orang-orang Kristian dalam menjalankan hukum agama mereka, seperti yang telah berlaku sejak penaklukan Islam hingga sekarang. Jelas bagi siapa yang mempunyai mata hati, bahawa berhukum dengan Syariah Islam adalah satu-satunya cara yang dapat mencapai kestabilan sosial, memelihara kepelbagaian agama dan memberikan hak masing-masing; dalam ruang lingkup yang jelas, yang melindungi kesatuan rakyat dan memelihara struktur sosial untuk anak bangsa dalam satu tanah air.
Syariat Islam melindungi kemuliaan manusia dan kebebasannya
Sesungguhnya undang-undang ciptaan manusia biarpun hukum-hukumnya baik tidak mungkin dapat memberikan peranan yang sama seperti syariat Islam terutama dalam memberikan keamanan, keadilan dan kebebasan. Ini kerana undang-undang ciptaan manusia tidak memiliki unsur kekudusan, nilai akhlak dan kerohanian seperti yang terdapat dalam Syariah Islam, yang senantiasa berinteraksi dengan hati nurani setiap orang dan pada masa yang sama memberikan arahan terhadap perilaku mereka.
Justeru, tidak terdapat dalam jiwa orang yang melanggar undang-undang ciptaan manusia perasaan takut kepada Allah, tidak merasa berdosa, tidak cemas dan tidak merasa kegusaran nurani seperti orang yang melanggar syariat Islam. Malah, boleh jadi orang yang pertama kali melakukan pelanggaran terhadap undang-undang ciptaan manusia adalah orang yang membuat undang-undang itu sendiri, kerana dia mengetahui celah-celahnya, bahkan mungkin dia juga tahu cara mengelak dari menerima hukuman dan kembali melakukannya dalam bentuk dan taktik yang lain dengan penuh kelicikan!
Di dalam undang-undang ciptaan manusia seorang hakim lebih mudah berubah untuk menjadi penzalim, tanpa rasa malu atau berdosa, dan menjadikan undang-undang sebagai alat yang dapat digunakan untuk kemaslahatan dirinya dan mengubah sesuka hatinya.
Hal ini telah kami saksikan di Mesir, bagaimana undang-undang malah perlembagaan boleh diubahsuai menjadi ‘pedang’ yang digunakan dalam sistem yang zalim untuk dimanipulasi dan diadili sesuka hatinya walaupun berlawanan dengan kehendak rakyat, dan mengeksploitasi sokongan majoriti palsu untuk mengekalkan undang-undang yang mempunyai reputasi buruk, malahan cenderung kepada kerosakan dan melindungi perosak tanpa mempedulikan natijah yang menjurus kepada kerugian, menjatuhkan kewibawaan, nilai serta nama baik negara di hati setiap rakyat.
Kesan negatif akibat ketiadaan Syariat Islam dan kezaliman semakin bermahajalela
* Pada ketika ketiadaan syariat Islam dan kezaliman semakin bemaharajalela, kini kekuasaan mengatasi kebenaran, di mana badan perundangan berpihak kepada kehendak penguasa zalim sebagai ganti daripada menegakkan keadilan dan melaksanakan kepentingan rakyat. Anda tanyalah kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) apa yang terjadi dalam pemilihan anggota Dewan Parlimen di Mesir.
* Pada ketika ketiadaan syariat Islam dan kezaliman semakin bermaharajalela, kini tugas badan keselamatan memburu para penentang dan menangkap musuh-musuh penguasa zalim daripada bertindak terhadap para perosak dan memburu kumpulan penjenayah, disebut sebagai ‘tangan kerajaan’ yang merosak kemuliaan manusia dan kehidupan mereka serta merampas hak-hak mereka.
* Pada ketika ketiadaan syariat Islam dan kezaliman semakin bermaharajalela, kini semakin bertambah penindasan dan penangkapan ke atas orang-orang baik. Penjara-penjara di dalam negeri dipenuhi ramai orang yang memiliki kepakaran dan pengalaman dari segi ilmu, semata-mata kerana mereka lantang menyampaikan suara menentang kezaliman, kekejaman dan penipuan yang keji demi kehendak rakyat. Jawatan-jawatan diberikan kepada orang yang bukan ahlinya, dan memberikan kuasa pemerintahan kepada mereka yang memiliki pemikiran dan jiwa-jiwa yang hanya memikirkan kepentingan peribadi daripada kepentingan negara dan rakyat. Akhirnya- sesuai dengan keadaan tersebut – muncul sikap individualistik yang meranapkan pintu hubungan kemasyarakatan dan menghilangkan nilai-nilai keadilan di dalam diri rakyat.
Oleh kerana itu kezaliman berlaku dalam pelbagai lapangan hidup; ekonomi, sosial dan moral, telah melambat atau menghentikan sama sekali, bahkan melembabkan proses pembangunan, dan melenyapkan nilai-nilai patriotik, kedewasaan serta moral yang mulia; untuk diisi tempatnya dengan golongan opportunis dan menjadikan yang kuat dapat bertindak sewenang-wenang untuk mengambil sesuatu yang bukan haknya dengan tangannya, sementara warga biasa dan sederhana terpaksa melakukan suapan untuk menyelesaikan beberapa hak-hak mereka, mencari jalan selamat daripada terus berhadapan dengan kekerasan dan ketidakadilan.
Kini telah hilang makna sebuah Negara yang akhirnya membawa kepada kehancuran.
Semoga Allah SWT meredhai Saidina Ali bin Abi Talib, yang berkata dalam buku yang pertama kali ditulis setelah beliau dilantik menjadi khilafah:
“Adapun selepasnya. Sesungguhnya telah hancur orang-orang sebelum kalian, kerana mereka mencegah kebenaran hingga terpaksa membeli, dan mereka menyebarkan kezaliman hingga terpaksa ditebus”
Kita adalah kumpulan manusia yang berfikir dalam bentuk yang paling mudah, maka akan terlihat bagaimana kini telah lenyap hakikat sebuah negara setelah dikuasai oleh kuasa dan diambil oleh kekuatan badan keselamatan. Fokus yang menjadi cita-citanya dan dalam pengetahuan para pelakunya adalah; perhitungan jiwa manusia, orang-orang yang berkelayakan dan memiliki kepakaran terhalang dari memegang jawatan yang sesuai untuk mereka, mereka-reka tuduhan terhadap orang-orang yang jujur, melakukan tekanan, bertindak ganas dan menjatuhkan martabat mereka, dalam sebuah penyelewengan yang memalukan dalam penggunaan undang-undang, yang membawa kepada seburuk-buruk akibat.
Terdapat perbezaan besar antara sebuah negara yang dasar pemerintahannya adalah penjara, cemeti, penyiksaan dan pengadilan khusus, mengenepikan hak asasi dan menyuburkan kezaliman dengan… dengan negara yang diatur dengan hukum Syariat Islam yang mulia, sehingga seorang khalifah Umar Bin Al Khattab ra berkata setelah dipilih menjadi khalifah:
“Berikanlah kepada umat hak-hak mereka, janganlah kalian memukul (menyiksa) mereka sehingga kalian akan hina, dan jangan kalian melempar mereka (maksudnya janganlah kalian memenjarakan mereka tanpa alasan yang benar) sehingga kalian akan tertimpa fitnah (musibah), dan janganlah kalian tutup pintu untuk diberikan kepada selain mereka, sehingga yang kuat akan memangsa yang lemah, janganlah kalian memaksa mereka sehingga kalian menzaliminya dan janganlah kalian abaikan urusan mereka.
* Pada ketika ketiadaan syariat Islam dan kezaliman semakin bermaharajalela, kini menular nilai-nilai kemunafikan yang menindas anak bangsa yang cerdas dan rakyat yang layak dilindungi, jelas tekanan ke atas golongan cendekiawan dan media yang menjadikan tugas yang mereka pikul hanya untuk membenarkan tindakan kediktatoran dan penyimpangan-penyimpangan yang mereka lakukan, membenarkan kekejaman dan kezaliman serta kekerasan ke atas umat dan bangsa untuk memelihara kepentingan mereka yang lebih besar, dan membenarkan tindakan pengabaian dan kehinaan mereka terhadap musuh dengan alasan sebagai cara politik pragmatis.
Pada saat yang sama mereka menuduh para penentang sebagai kelompok yang keluar, pembangkang, perosak dan pengkhianat, menyifatkan nasihat yang menepati agama yang menjadi kewajiban untuk dilaksanakan mereka sebagai pemberontakan, menganggap kritikan terhadap sistem yang telah diterapkan sebagai penghinaan terhadap simbol-simbol negara, sehingga para pembangkang yang telah memberikan saranan dan nasihat yang baik berhak untuk mati dan dilenyapkan dari muka bumi, bahkan nasihat dari sudut agama pun mereka sanggup menolaknya. Tiada daya dan kekuatan kecuali hanya milik Allah semata-mata.
Justeru kita melihat bahawa ketiadaan Syariat Islam telah menghancurkan fitrah manusia, mengancam kehidupan sosial, mengurangkan kesempatan untuk menumbuhkan kreativiti dan prestasi, memadamkan kebaikan jiwa manusia, melenyapkan ciri-cirinya, menanamkan benih-benih perhambaan, menjadikan individu rasa rendah diri dan hina, sehingga akhirnya muncul peribadi yang tidak memiliki keyakinan diri, tidak dapat membuat keputusan yang sesuai dengan dirinya, muncul generasi yang buta dan tidak memiliki kemuliaan diri, keinginan yang sedikit dan lemah dalam menerima dan menolak.
Tidak ada cara lain untuk menyelamatkan bangsa Arab dan umat Islam dari situasi terburuk ini kecuali dengan melakukan kerjasama dan penyelarasan bersama warga yang setia dan ikhlas dari bangsa ini, dan tidak terpedaya dengan tipu muslihat badan-badan yang zalim yang bertujuan ingin memecah belahkan kelompok umat dan kesatuannya; supaya bangsa Arab dan umat Islam dapat menetapkan jati dirinya dan menggunakan potensi bangsa dan masa depannya.
Ikhwan Muslimin, di manapun mereka berada dan bertitik tolak dari perasaan bertanggungjwab yang dimilikinya akan tetap membentangkan tangan mereka kepada semua kerajaan atau pemerintah yang ikhlas dan hidup tanpa terkecuali, untuk menyatukan misi dan mengintegrasikan potensi dalam menghadapi suasana yang sia-sia dan lemah fikiran ini; sehingga mampu membangkitkan umat dari tidur dan menempatkan diri pada kedudukan yang berhak dimiliki ditengah-tengah umat lainnya yang ada di muka bumi ini.
Allah Maha Besar dan segala puji hanya milik Allah semata.
Artikel Asal: http://www.ikhwanonline.co