Hari bersejarah Pertubuhan IKRAM Malaysia
KUALA LUMPUR - Di hadapan lebih 5,000 orang yang terdiri daripada ahli, tetamu khas, petugas media serta para pemerhati dari dalam dan luar negara, sebuah gerakan Islam, Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) telah dilancarkan pagi tadi. Majlis bersejarah tersebut berlangsung di Malaysia International Exhibition and Convention Centre, Seri Kembangan dekat sini.
Sungguhpun IKRAM nama baharu dalam dunia gerakan Islam di negara ini, ia bukanlah pertubuhan (NGO) yang baru hendak bertatih. IKRAM lahir hasil gabungan lima NGO yang selama ini bergerak berdasarkan pengkhususan masing-masing. NGO terbabit adalah Medical Interest Group Sdn Bhd (MIGSB), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Pendidikan SRI-SMI Berhad (MUSLEH) dan Persatuan Islam Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Australasia (AUSIS). Aqsa Syarif Berhad yang ditubuhkan Februari lalu menjadi NGO kelima yang bernaung di bawah IKRAM.
Setakat hari pelancarannya sahaja, IKRAM telah mempunyai 69 cawangan daerah dan 14 cawangan negeri di seluruh negara, manakala bilangan ahli-ahlinya sudah menjangkau 3500 orang. Jumlah ini dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Pelancaran IKRAM telah disempurnakan oleh Presidennya, Dr Mohd Parid Syeikh Ahmad.
Dalam sidang media yang diadakan seusai pelancaran tersebut, Dr Parid menjelaskan IKRAM adalah sebuah NGO Islam yang komprehensif dan tidak memberikan fokus kepada bidang-bidang tertentu sahaja kerana dakwah adalah hak semua orang.
Bingkisan Islam yang hendak disampaikan oleh IKRAM adalah untuk semua manusia tanpa mengira agamanya agar lebih ramai yang dapat menerima kebaikan Islam dan sujud kepada Pencipta alam.
"Walaupun begitu, kita tetap berpegang kepada konsep bahawa tidak ada paksaan dalam beragama. Mereka yang belum bersedia menganut Islam tiada halangan untuk berdialog dan bekerjasama dengan kita dalam bidang-bidang tertentu," katanya.
Antara matlamat IKRAM yang disebut dalam perlembagaannya adalah menyebarkan Islam melalui dakwah, meninggikan taraf sosio-ekonomi umat Islam, memupuk keadilan masyarakat dan kesejahteraan sosial dan menegakkan syariat Islam secara praktikal. Selain yang demikian, IKRAM bersedia mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak dalam memajukan kepentingan umat Islam, sesuai dengan moto IKRAM, 'Ukhuwah Teras Kegemilangan'.
IKRAM menyatukan dalam satu organisasi kerja-kerja dakwah yang telah diusahakan oleh ahli-ahlinya di bawah pelbagai nama. Dengan tertubuhnya IKRAM, kegiatan-kegiatan seperti dakwah kepada yang belum Islam, pendidikan, wanita, remaja, belia, kebajikan, bantuan kemanusiaan, hak asasi manusia dan urus tadbir yang baik (good governance) akan digabung (consolidate) dan diperteguh.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Timbalan Presiden, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom, Setiausaha Agung, Haji Zaid Kamaruddin dan Ketua Wanita, Ustazah Maznah Daud. Kebanyakan media utama negara termasuk daripada akhbar berbahasa Cina turut hadir membuat liputan majlis pelancaran dan sidang media IKRAM itu.
Menjawab satu soalan, Dr Parid menerangkan bahawa IKRAM berusaha membawa konsep dakwah yang dapat diterima oleh semua pihak demi mewujudkan kefahaman serta amalan hidup yang selari dengan tuntutan massa.
"Yang penting, ia mestilah tidak terkeluar daripada landasan Islam. Kita mesti yakin Islam itu baik bukan sahaja untuk orang Islam tetapi juga untuk yang belum Islam," ujar lulusan Doktor Falsafah dalam bidang Fiqh dan Usul Universiti Jordan, Amman ini.
Pelancaran IKRAM hari ini sekali gus melancarkan lagu rasmi pertubuhan itu yang menarik dan bersemangat. Lagu berjudul 'IKRAM' tersebut ditulis oleh Prof Dr Hatta sendiri manakala lagu dan vokalnya disampaikan oleh kumpulan SaffOne.
Sesi kedua majlis diserikan dengan Tazkirah Perdana oleh Ahli Lembaga Timbangtara IKRAM, Ustaz Alias Othman berjudul 'Bekalan di Perjalanan' dan ucapan berapi-api oleh Ustaz Hasanuddin Yunus, Pengerusi Aqsa Syarif yang turut menyertai flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.
Seorang pengunjung, Azhar Maluddin, 45, berkata, jumlah kehadiran yang begitu ramai pada hari ini memberi petanda yang amat baik.
"Pelancaran IKRAM yang dihadiri tidak kurang daripada 5,335 hari ini mampu memberi impak yang besar kepada ahli-ahli. Ia menunjukkan IKRAM boleh mendapatkan bantuan yang sewajarnya daripada ahli-ahlinya apabila diperlukan," katanya.
Sementara itu, gerai-gerai yang dibuka di lobi dewan, terutamanya yang menjual barangan berkaitan Palestin mendapat sambutan menggalakkan daripada para pengunjung.
Jawatankuasa Pusat IKRAM 2010 - 2014.
Sebahagian daripada khalayak yang hadir pada Majlis Pelancaran IKRAM.
Ana bersyukur Allah kerana telah terpilih bersama Ikram...
ReplyDelete