Rasulullah S.A.W adalah peribadi terbaik dan pemimpin ummah yang paling unggul dan berpengaruh untuk dikuti oleh mana-mana bangsa yang ingin membangun ummah ke arah kecemerlangan dan keridhaan Allah S.W.T. Begitulah apa yang diketengahkan oleh Dr. Muhammad Mardani, bekas graduan UTM yang kini begitu aktif di dalam usaha-usaha dakwah dan membangun ummah di Indonesia yang berkesempatan memberikan pengisian bersempena program KHATIBAH & QIYAM IKRAM daerah Pontian yang diadakan di Surau Nurulsalam pada 16 Mei 2011. Majlis dihadiri oleh ahli-ahli IKRAM Pontian dan masyarakat setempat dari kalangan laki-laki, wanita, remaja dan anak-anak.
Lima strategi dihuraikan penceramah selepas solat Isya' adalah berasaskan prinsip "Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah apa yang ada di dalam diri mereka sendiri";
Strategi 1: Memperkuatkan Rohani.
Berasaskan hadith Rasulullah S.A.W, "Di dalam diri manusia ada segumpal daging, jika baik daging itu, baiklah seluruh tubuh, itulah hati". Ummat tidak harus lemah berterusan, ummah perlu dibangunkan kekuatannya dan ia perlu difokuskan melalui pembangunan rohani atau iman. Imanlah yang sewajarnya sebagai pendorong di dalam gerak kerja individu dan masyarakat. Jika itu yang berlaku, pembangunan individu, keluarga dan masyarakat, ianya tidak akan menyeleweng dari matlamat taqwa.
Strategi 2: Kekuatan Fikiran.
Fikiran atau minda adalah di antara anugerah termahal dari Allah untuk manusia. Jika sejahtera fikiran, baiklah akhlak dan amalannya.
"Mind is space of possibilities". Kekuatan minda berupaya menerobos pelbagai dimensi dan jangkauan. Jika minda disuburkan dengan sumber-sumber maknawi, bersumberkan Al_Qur'an dan Sunnah, ianya akan mampu membuahkan inovasi yang kreatif, konstruktif dan positif. Kejayaan ummah pimpinan Rasulullah S.A.W dan diteruskan oleh para sahabat, ulama' dan umara' yang beriman telah mampu menawarkan kepada dunia tamadun kemanusiaan yang sejahtera sehingga menjangkau ke Afrika, Eropah dan Asia.
Jauhkan minda dari keracunan fikiran seumpama kefahaman kebendaan dan kesesatan, sebaliknya suburkan dengan fikrah Islam yang syumul melalui usrah dan daurah berjamaah.
Strategi 3: Kekuatan Amal.
Amalan Rasulullah S.A.W adalah yang terbaik. Kerana ianya berasaskan Iman yang mantap dan fiqrah yang jelas serta berwawasan. Pengaruh amalan Rasulullah memberi kesan kepada kehidupan ummat walaupun baginda wafat. Oleh itu kajian penulis 100 orang berpengaruh, tidak ada pilihan lain kecuali meletakkan Rasulullah sebagai orang nombor satu yang paling berpengaruh. Oleh itu bagi membangun ummah, kekuatan amal dikalangan aktivis perlu diutamakan. Diperingkat amal fardi seumpamaan membaca qur'an perlu menjadi amalan seharian. "Andainya engkau sihat, anda tidak akan bosan dengan AL-Qur'an". Tanpa mengira masa, penat, lelah mahupun kebendaan. Amal Islami perlu dilatih terus-menerus di dalam bentuk kerja-kerja kebajikan di dalam masyarakat, dakwah dan sebagainya. Di dalam kerja-kerja dakwah "Jangan mencari waktu lapang, tetapi lapangkanlah waktu di dalam kehidupan anda".
Strategi 4: Kekuatan Maliah (Harta).
Setelah 3 strategi di atas, kekuatan maliah juga amat diperlukan oleh para pendakwah. Ruang tugasan pendakwah mempunyai ruang rangkaian (networking) yang seharuanya tanpa batasan. Mereka perlu berhubung, bertugas dan bertanggungjawab dengan ramai pihak. Bukan setakat anak, isteri dan ahli keluarga, tetapi menjangkau di dalam masyarakat sekelilingnya, malah mungkin perlu menerokai pelbagai sudut dan struktur di dalam negara. Hubungan yang dibina memerlukan pendakwah membuat perjalanan, komunikasi, pembentangan, perundingan dan sebagainya dan semua itu memerlukan kekuatan kewangan. Oleh itu individu pendakwah sangat-sangat memerlukan kekuatan maliah dan ianya perlu digemblingkan secara berjamaah melalui infaq, sadekah dan zakat. Allah menyebut sehingga 72 ayat mngenai zakat, sedekah dan infaq berbanding hanya 2 ayat berkait dengan kemiskinan di dalam Qur'an.
Strategi 5: Kekuatan Kemasyarakatan.
Tidak disangkal bahawa Rasulullah S.A.W. telah dengan jelas menunjukkan kita bahawa setelah dakwah dan tarbiyah yang dilakukan Rasulullah di Mekkah, Rasulullah membina masyarakat yang kuat. Apabila wahyu Allah datang memerintahkan Rasulullah berhijrah ke Madinah, lebih terserlah penumpuan Rasulullah di dalam membina kekuatan masyarakat Islam yang bermula dengan pembangunan Masjid dan diikuti dengan pembinaan pusat perniagaan umat Islam di Madinah.
Pembangunan ummah ini tidak terputus dengan pembinaan kekuatan akidah, fikrah dan amal individu-individu muslim yang bergabung di dalam jamaah. Dengannya, dakwah terus berkembang dan masyarakat mendapat barkah dan rahmat.
Begitulah perkongsian Dr Muhammad Mardani yang ringkas tetapi padat dengan panduan untuk para pendakwah yang sedang membangunkan keupayaan untuk berperanan di dalam masyarakat. Di dalam program Khatibah dan Qiyam tersebut, kemudian itu diteruskan dengan jamuan ringan, tilawah Qur'an dan beriktikaf. Sekitar jam 4.30pagi hari berikutnya, diadakan solat sunat berjamaah sebelum masuknya waktu solat Subuh. Selepas subuh di adakan pula kuliah subuh yang disampaikan oleh Ust. Khairul Mutanazar dari Gelang Patah dengan penekanan isu taatkan kepada Allah bagi menghindarkan kemurkaan Allah.
syukron wa jazakallahu khair ya Ustadz wa man 'amila wa ittaba'a hasanatahu
ReplyDeletepembetulan:
ReplyDeleteDr. Mardani
KATIBAH
TQ.